Skip to content

Wanita Palestin mohon maaf. Tertekan kenang anak di Gaza

  • Berita

HANGAT diperkatakan mengenai insiden kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) melibatkan beberapa individu warga Palestin yang dilihat memberontak dikatakan tidak puas hati dengan perkara tertentu.

Video yang menjadi tular pada Rabu itu memaparkan seorang wanita dipercayai warga Palestin melontarkan kata-kata jelik mengenai Malaysia.

Turut dapat dilihat menerusi video tersebut adalah beberapa individu warga Palestin menendang perhiasan di lobi Wisma Transit selain berlaku perang mulut dengan salah seorang pengawal keselamatan.

Susulan menerima kecaman hebat, seorang wanita Palestin dikenali sebagai Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah tampil mengemukakan permohonan maaf dan meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut.

“Keadaan tegang itu berpunca daripada rasa tertekan memikirkan keadaan anak yang masih berada di Gaza. Sudah seminggu saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

“Saya tak tahu bagaimana keadaan mereka di sana sekarang,” jelasnya menerusi satu video yang tular di laman TikTok.

Insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang menjadi tumpuan di media sosial.

Difahamkan Aminah merupakan salah seorang daripada 127 rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan selepas menjadi mangsa peperangan dengan rejim Zionis.

“Saya bersumpah dengan Tuhan, saya tak buat dengan sengaja, kami sedang melalui situasi yang sangat tragis, hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya. Saya sendiri merupakan ibu kepada tiga orang syuhada (anak syahid).

“Saya minta maaf atas apa yang dilakukan oleh saya. Kami sebenarnya orang yang baik, bermurah hati dan menghormati insan lain. Kami berterima kasih kepada Malaysia kerana memberikan kami layanan yang baik.

“Dengan nama Allah, saya bersumpah apa yang saya cakapkan ini semua ikhlas daripada hati saya. Kami juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, saya sekali lagi minta maaf.

“Saya berharap kamu (rakyat Malaysia) akan menerima permohonan maaf saya ini. Perkara yang sedang berlaku ke atas kami adalah lebih daripada apa yang kami boleh tanggung,” ujarnya dalam bahasa Arab yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu menerusi kapsyen.

Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara Subang.

Kedua-dua pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, di Kaherah, Mesir itu membawa seramai 127 orang termasuk 41 pesakit cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berasa sayu mengenangkan nasib Aminah.

“Kesian Aminah, mesti tertekan sangat akibat peperangan sampai hilang pertimbangan. Mungkin kalau kita di tempat dia pun akan melakukan perkara yang sama. Jangan terlalu cepat menghakimi.

“Kami orang Malaysia ni sangat beradab dan lembut budi bicara, kami maafkan,” kata sebahagian warga maya.

Sumber mStar

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.