Kota Bharu: ‘Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam. Apa yang berlaku disebabkan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.”
Demikian luahan Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, iaitu pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, bas yang bertolak dari Terengganu itu pada awalnya dalam keadaan baik sehinggalah tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik apabila secara tiba-tiba brek bas tidak berfungsi.
“Ketika itu saya sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas juga kosong menyebabkan semua tidak berfungsi termasik brek tangan dan gear bas juga tidak boleh ditukar.
“Apa yang saya buat ketika itu adalah cuba mengelak dari kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian berlaku.
“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcham dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.
“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-qpa,” katanya yang kini berada di Hospital Taiping, Perak.
Beliau yang berpengalaman membawa bas sejak 2016 berkata, ketika brek bas tidak berfungsi, dia sudah menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan.
“Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah.
“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak bergungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu.
“Saya tidak memandu laju sebagaimana yang tular kerana saya sendiri arif dengan laluan Jeli-Gerik, apatah lagi lokasi kejadian itu sedang menuruni bukit,” katanya sambil menahan tangis.
Jelasnya, apabila bas berkenaan terbalik, dia sendiri pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit kepada pelajar meminta mereka keluar daripada cermin hadapan bas yang pecah.
“Saya merangkak keluar daripada cermin depan dan ketika itu saya melihat keadaan pelajar semua. Saya sendiri sedih dan menangis dengan apa yang berlaku, namun apakan daya, Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.
“Sepanjang saya memandu bas, ini adalah pertama kali saya terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.
“Namun apa yang berlaku tidak mampu diundurkan masa, saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan saya menyerahkan siasatan kepada pihak polis,” katanya yang berasal di Besut, Terengganu.
Mohd Amirul Fadhil berkata, dia kini sedang menunggu untuk menjalani pembedahan di tangan kiri yang patah.
Semalam, media melaporkan siasatan awal polis mendapati kemalangan yang mengorbankan 15 penuntut UPSI di Tanjung Malim apabila bas yang dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbalik.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.