Nahas bas penuntut UPSI: Pelajar dakwa rayu pemandu perlahankan kenderaan tapi tak dipeduli

Ipoh: Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikatakan meminta pemandu bas memperlahankan kenderaan namun rayuan tidak diendahkan.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang melawat Lili Suzana Mat Yaakob, 23, salah seorang mangsa yang terselamat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, hari ini.

Selain Lili Suzana, seorang lagi pelajar, Nor Erika Elysha Mohd Zaidi turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurut Noraini, Lili Suzana memberi amaran bahawa bas dipandu terlalu laju.

“Dia (Lili Suzana) berkata pemandu memandu laju dan dia menegur pemandu berkali-kali supaya tidak memandu dengan laju.

“Dia masih trauma. Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma, apatah lagi apabila kenderaan terbalik.

“Kita dapat lihat kesan trauma itu dengan jelas, jadi kita tawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan juga ahli keluarga mereka,” kata Noraini kepada pemberita ketika ditemui di HRPB.

Noraini berkata, kementeriannya menyalurkan bantuan segera dan perkhidmatan kaunseling kepada semua yang terkesan akibat tragedi itu.

“Kita minta pelajar jangan risau kerana pihak UPSI, hospital, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa ada untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan rawatan lanjut di hospital.

“Salah seorang daripada mereka (Nor Erika Elysha) masih menerima ubat dan belum sedar sepenuhnya, manakala seorang lagi (Lili Suzana) boleh bercakap dengan kita dan kelihatan stabil,” katanya.

Noraini turut menzahirkan harapan agar kedua-dua pelajar itu segera pulih dan kembali menyambung pelajaran.

“Apa yang penting adalah mereka kembali bersemangat dan meneruskan pengajian. Kita doakan agar mereka segera sembuh,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebajikan keluarga yang menaiki Perodua Alza dan turut terbabit dalam kemalangan serta sedang dirawat di Hospital Baling, Noraini berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghubungi mereka.

“Apa yang kita boleh lakukan ialah nanti pegawai JKM akan melawat mereka dan jika ada keperluan, bantuan akan disalurkan,” katanya.

Seramai 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat awal pagi semalam.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus utama universiti di Tanjung Malim.

Sumber

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version