USUS adalah organ penting yang menyumbang kepada 60 peratus sistem imun tubuh dan mempunyai sistem saraf kompleks yang dikenali sebagai Enteric Nervous System.
Tahukah anda bahawa keadaan organ pencernaan boleh mempengaruhi keseluruhan tubuh kita?
Oleh itu, jika usus dibiarkan ‘kotor’ akibat pola makan yang tidak sihat dan gaya hidup tidak teratur, pelbagai gejala negatif boleh muncul.
Melalui akaun Lemon8, @Aishah.exe berkongsi ciri-ciri usus kotor yang boleh dilihat melalui perubahan tubuh badan kita:
1. Jerawat dan bekas jerawat susah hilang
Usus yang kotor boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon, reaksi keradangan berlebihan, dan memperlahankan proses regenerasi kulit.
Akibatnya, kulit menjadi lebih mudah berjerawat, dan parut jerawat mengambil masa yang lama untuk hilang.
Sebagai contoh, jerawat pada dagu sering dikaitkan dengan masalah pencernaan atau perubahan hormon seperti fasa menstruasi.
Ini adalah petanda bahawa sistem dalaman tubuh, termasuk usus, mungkin memerlukan perhatian.
2. Mulut dan kentut berbau
Sisa makanan yang tidak tercerna terkumpul di dalam usus dan menghasilkan gas berbau busuk.
Gas ini bukan sahaja menyebabkan kentut amat busuk, tetapi juga memberi kesan kepada bau nafas mulut anda.
Masalah ini sering kali disebabkan oleh ketidakseimbangan bakteria baik dan buruk dalam usus.
3. Susah buang air besar
Kekurangan serat, vitamin, dan mineral dalam diet harian boleh menyebabkan usus menjadi kotor, memperlahankan proses pencernaan, dan mengakibatkan sembelit.
Untuk pengetahuan, usus memerlukan lendir yang mencukupi untuk memudahkan pergerakan sisa makanan keluar dari badan.
Tanpa nutrisi yang mencukupi, proses ini terganggu, menyebabkan toksin terkumpul dalam tubuh.
4. Mudah masuk angin dan sakit sendi
Apabila bakteria jahat dalam usus menghasilkan gas dan bahan kimia berbahaya, ia boleh menyebabkan perut kembung dan masuk angin.
Selain itu, toksin yang masuk ke dalam aliran darah melalui sistem limfa boleh mengakibatkan rasa sakit sendi, lenguh badan, dan keletihan.
Keadaan ini juga menurunkan sistem imun tubuh, menjadikan badan lebih mudah terkena penyakit.
Berikut adalah beberapa cara mudah untuk membantu membersihkan usus dan meningkatkan kesihatan pencernaan.
1. Banyakkan makan serat dan buah-buahan
Serat memainkan peranan penting dalam mendorong sisa melalui usus dan mencegah sembelit. Tingkatkan pengambilan:
– Buah-buahan (epal, betik, oren)
– Sayur-sayuran (brokoli, bayam)
– Biji-bijian dan kekacang
Selain itu, serat larut juga membantu menyerap toksin dalam usus, menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan.
2. Minum air kosong
Air membantu melawaskan najis dan mempercepatkan proses pembuangan toksin dari tubuh.
Anda perlu minum sekurang-kurangnya 1.5 liter hingga 2 liter air kosong setiap hari untuk memastikan tubuh kekal terhidrat.
3. Makanan probiotik
Probiotik membantu meningkatkan populasi bakteria baik dalam usus, yang seterusnya meningkatkan pencernaan dan mengurangkan toksin.
Antara makanan yang kaya dengan probiotik termasuk yogurt, kefir, sauerkraut
Probiotik bukan sahaja membersihkan usus yang kotor tetapi juga memperbaiki kesihatan keseluruhan sistem pencernaan.
4. Rutin senaman
Senaman membantu mempercepatkan metabolisme dan menyokong fungsi usus yang sihat.
Aktiviti fizikal seperti joging, yoga, atau berjalan kaki boleh membakar lemak perut, melancarkan pergerakan usus, mengurangkan tekanan, yang juga memberi manfaat kepada sistem pencernaan
5. Minum jus detoks
Jus dari buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu, seperti jus epal, jus lemon dan jus lidah buaya.
Jus ini mengandungi antioksidan dan enzim semula jadi yang membantu membersihkan toksin dalam usus dan meningkatkan kesihatan pencernaan.
6. Hindari makanan berproses, tinggi gula, dan kafein
Makanan yang diproses dan mengandungi gula tinggi boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus.
Sementara itu, pengambilan kafein yang berlebihan boleh melambatkan pencernaan dan menyumbang kepada masalah seperti ‘leaky gut’.
Usus yang sihat adalah kunci kepada tubuh yang sihat.
Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk diet seimbang, senaman teratur, dan pengambilan air yang mencukupi, anda boleh mengurangkan risiko masalah seperti kentut berbau, mulut berbau, dan gejala lain yang berkaitan dengan usus kotor.
Jangan lupa untuk mencuba tips-tips di atas dan jadikan kesihatan usus sebagai keutamaan.
Ingat, usus yang bersih bukan sahaja memberikan manfaat kepada kesihatan dalaman, tetapi juga membantu meningkatkan keyakinan diri dan kualiti hidup anda.
Sumber Penulisan mStar
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.