Kuala Lumpur: Pilihan untuk menjadi golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer, interseks, aseksual (LGBTQIA+) menyebabkan ramai yang merasakan tiada keperluan untuk berkahwin bagi menikmati hidup sebagai pasangan suami isteri di Malaysia.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan (n-Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, gaya hidup moden yang dipengaruhi oleh hedonisme termasuk hidup bersama tanpa perkahwinan dan perzinaan menyebabkan pandangan serta halatuju hidup tidak lagi semurni dahulu.
Menurutnya, peningkatan gaya hidup LGBTQIA+ dan hedonisme menyumbang kepada penurunan kadar perkahwinan, sekali gus peningkatan individu bujang di Malaysia.
“Hedonisme boleh ditakrifkan sebagai pegangan atau pandangan yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup.
“Gaya hidup hedonisme yang semakin berkembang dalam kalangan generasi muda semakin diterima sebagai norma dalam kalangan sebilangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Jelasnya, ia adalah pemikiran hedonisme yang merbahaya untuk masyarakat Malaysia dan perlu dibendung bagi mengelakkan situasi yang lebih buruk berlaku.
“Pandangan sosial terhadap perkahwinan dan hubungan juga sudah berubah. Generasi muda kini lebih cenderung untuk mengejar kebahagiaan peribadi dan kebebasan dalam membuat pilihan hidup, termasuk dalam hal percintaan dan perhubungan.
“Ini mengurangkan tekanan sosial untuk berkahwin dan membina keluarga tradisional.
“Masyarakat kita sedang melalui transformasi yang mana nilai-nilai tradisional semakin bercampur dengan pandangan moden,” katanya.
Kartini berkata, peratus wanita dan lelaki di Malaysia tidak banyak beza.
Kata beliau, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah bancian lelaki pada 2023 ialah 17.5 juta dan perempuan pula ialah 16.0 juta.
“Definisi gender kini, dengan gerakan liberal, boleh disifatkan sebagai terangkum bermakna mempertimbangkan lelaki, wanita dan transgender.
“Orientasi gender dan identiti diiringi oleh orientasi seksual yang berbeza mencipta hambatan baru dalam melihat pilihan untuk membujang atau berkeluarga,” katanya.
Kata beliau, berdasarkan Laporan DOSM mengenai perkahwinan dan perceraian (2021), perkahwinan yang direkodkan pada 2020 adalah 184,589 sementara pada 2019, ia merekodkan 203,661.
“Ini bermakna, terdapat 9.4 peratus penurunan. Namun, bagi status bujang, perlu diperhalusi memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Amalan perkahwinan berbeza dan istilah hidup bersama tanpa status kahwin dalam pendaftaran sivil boleh mengganggu kutipan data sebenar berkaitan status seseorang,” katanya.
Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, peningkatan individu bujang di Malaysia berkait rapat dengan dua aspek iaitu mental dan fizikal.
Menurut Azuraida, sebilangan individu bujang di Malaysia terkesan dengan berita peningkatan kes berkaitan rumah tangga yang semakin berleluasa seperti perceraian, penderaan dan konflik kecurangan pasangan menyebabkan golongan ini tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
“Daripada aspek fizikal, mereka tidak mempunyai aset yang kukuh seperti rumah, kenderaan dan pendapatan yang tetap, ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan mereka memilih untuk membujang.
“Tekanan ekonomi yang tinggi membuatkan individu menunda perkahwinan kerana kewangan yang tidak stabil disamping kos perkahwinan yang tinggi sekali gus menambah tekanan dalam hubungan untuk berkahwin,” katanya.
Tambahnya, pasaran kerja dalam dunia gig ekonomi yang tidak tetap dan stabil seperti perkhidmatan e-hailing menyebabkan ketidakstabilan jana pendapatan dan mata pencarian di negara kita.
“Kenaikan kos sara hidup seperti sewa rumah dan harga makanan tidak setara dengan gaji yang tetap sama.
“Tanggungjawab kewangan sesetengah individu untuk membayar hutang seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kad kredit mempengaruhi mereka untuk terus membujang,” katanya.
Azuraida berkata, media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi tentang perkahwinan dengan menyampaikan idea, nilai dan norma berkaitan perkahwinan kepada masyarakat.
“Ia mampu mempengaruhi pandangan tentang perkahwinan, penyampaian boleh disalurkan melalui cerita dalam filem, rancangan televisyen, muzik, buku dan platform media sosial yang mencerminkan pelbagai model perkahwinan, hubungan dan peranan gender yang positif.
“Penyampaian seperti mempamerkan berita keganasan rumah tangga atau menayangkan siri televisyen berkaitan susahnya hidup berumah tangga atau berkeluarga akan membentuk gambaran mental individu dengan persepsi negatif terhadap perkahwinan.
“Individu bujang yang menonton siri televisyen membabitkan konflik rumah tangga seperti kecurangan pasangan terdedah dengan tanggapan bahawa itulah realiti selepas berkahwin dan memilih untuk tidak berkahwin bagi mengelakkan konflik terbabit,” katanya.
Sumber HMetro
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.