Tanda Buah Pinggang Rosak Dan Cara Mencegah
Penjagaan kesihatan buah pinggang merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu bagi memastikan kehidupan yang berkualiti.
Namun, disebabkan kurangnya kesedaran, ramai gagal mengenal pasti masalah ini pada peringkat awal.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kebanyakan pesakit hanya menyedari kerosakan buah pinggang mereka apabila ia sudah mencapai tahap kronik.
Pakar Nefrologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Wan Hazlina Wan Mohamad, menjelaskan bahawa keadaan ini berlaku kerana penyakit buah pinggang biasanya tidak menunjukkan simptom dan boleh berkembang secara perlahan selama bertahun-tahun.
Kebanyakan pesakit juga hanya mengetahui status kesihatan mereka selepas fungsi organ penting ini berbaki bawah 15 peratus sahaja.
Jika buah pinggang sudah berada di tahap kronik, keadaan tersebut akan kekal walaupun pesakit mendapat rawatan di hospital.
Sebaliknya, pakar perubatan hanya boleh mengelakkan penyakit melarat serta mengurangkan komplikasi menerusi rawatan dan ubat-ubatan.
Tanda Buah Pinggang Rosak
Pesakit yang mengalami kerosakan ginjal boleh menunjukkan beberapa simptom atau tanda seperti berikut :
- Badan sering merasa lemah dan lesu. Kulit juga kelihatan pucat akibat kekurangan darah merah
- Rasa mual, muntah dan hilang selera makan.
- Gatal seluruh badan
- Sesak nafas
- Bengkak pada bahagian pergelangan kaki
- Kekeliruan pada tahap yang melarat
- Kencing berbuih
- Darah keluar bersama air kencing
- Kerap kencing terutamanya pada waktu malam
- Pengeluaran kencing berkurangan
- Menghidap darah tinggi di usia muda atau bacaan tekanan darah sukar dikawal
Punca Sakit Buah Pinggang dan Cara Mencegah
Punca utama bagi penyakit ginjal di Malaysia adalah penyakit kencing manis.
Pada masa yang sama, penyakit lain seperti darah tinggi, kegemukan, batu karang dan merokok juga boleh menjadi penyumbang.
Perkara paling utama yang boleh dilakukan bagi mencegah masalah buah pinggang adalah dengan melakukan pencegahan awal menerusi :
- Pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat
- Amalan rutin senaman dan banyakkan aktiviti melibatkan pergerakan fizikal.
- Pengawalan berat badan.
Cara Kenalpasti Penyakit Buah Pinggang
Penyakit buah pinggang boleh dikenalpasti pada peringkat awal melalui beberapa ujian iaitu :
- Ujian air kencing
- Pemeriksaan tekanan darah
- Ujian darah
Adalah penting untuk anda amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang bagi mengelakkan risiko penyakit kronik termasuk masalah buah pinggang.
Jangan tunggu sehingga munculnya tanda buah pinggang rosak. Sebaliknya, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik kesihatan terdekat.
Ini penting bagi mengesan penyakit buah pinggang serta masalah kesihatan lain di peringkat awal.
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Berita Harian
Rawatan
Rawatan dialisis dilakukan untuk menggantikan fungsi buah pinggang bagi pesakit Chronic Kidney Disease (CKD) tahap 5 dan Kerosakan Buah Pinggang Kekal (ESRD).
Terdapat dua jenis rawatan dialisis iaitu Haemodialisis (HD) dan Peritoneal Dialisis (PD).
PD adalah jenis rawatan yang lebih murah dan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja samada di rumah ataupun pejabat.
Dapatkan nasihat doktor anda bagi maklumat lanjut.
Rujukan : Kementerian Kesihatan Malaysia
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.