Kuala Lumpur: Penyanyi, Illa Sabry menyangkal dakwaan penyingkirannya di minggu keenam program Gegar Vaganza 11 (GV11) mempunyai unsur mistik atau sihir.
Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, 45, berkata, sekiranya perkara itu wujud dia yakin perbuatan terbabit tidak dilakukan peserta program berkenaan.
“Memang pada awal program ini bermula saya jatuh sakit, tapi saya tak rasa terkena buatan orang. Lagipun siapalah saya untuk orang hantar sihir.
“Cuma kalau perkara itu wujud, mungkin orang lain yang buat. Saya tak rasa ada dalam kalangan peserta sebab saya kenal kawan-kawan saya dalam program itu. Tak mungkin ada unsur-unsur seperti itu.
“Cuma saya akui pentas ini sangat memberi tekanan sehingga saya mengalami muntah dan sakit perut yang teruk. Kejadian yang tak boleh dilupakan adalah pada konsert minggu ketiga apabila saya perlu mendapatkan rawatan di klinik. Tiga hari jugalah saya terlantar dan tak boleh buat sebarang latihan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ila, meskipun tersingkir awal dia bersyukur kerana pentas itu banyak memberi pengajaran dan mengubah hidupnya menjadi lebih baik.
“Kalau ikutkan pertandingan ini tiada dalam diari hidup saya sebab saya sudah lama berhenti menyanyi. Namun, atas pujukan pihak produksi saya menerima cabaran ini dan tak sangka belajar banyak perkara.
“Antaranya saya berkorban tak ambil gula dan nasi sehingga berjaya turunkan berat badan sebanyak 20 kilogram. Bagi saya, itu antara kejayaan peribadi untuk saya,” katanya.
Semalam, perjalanan Illa dan Reshmonu berakhir apabila mereka berdua tersingkir serentak pada konsert minggu keenam.
Sebelum ini, Illa pernah berkongsi pengalamannya mengalami perkara-perkara mistik ketika bertungkus-lumus menguruskan perniagaan restoran miliknya, Cik Gebu sejak 2020
Menurutnya, dia mengalami pelbagai perkara mistik disebabkan buatan jahat orang terhadapnya dan perniagaan. – Metro
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.