Sepanjang 2024, pelbagai peristiwa suka dan duka yang meninggalkan kenangan manis mahupun pahit untuk disimpan dalam lipatan memori.
Sebelum membuka lembaran baharu, apa kata kita intai carian yang paling popular sepanjang tahun ini, sebagaimana senarai yang dikeluarkan oleh Google Malaysia.
1) Sukan – UEFA Euro 2024
Malaysia tidak terkecuali dilanda ‘demam’ Euro 2024. Maka tidak hairanlah apabila Euro 2024 menjadi carian tertinggi dibuat rakyat Malaysia pada tahun ini bagi kategori sukan.
Berlangusng di Jerman pada 14 Jun hingga 14 Julai lalu, temasya ini menyaksikan Sepanyol muncul sebagai juara selepas menewaskan England 2-1.
2) Berita – Sumbangan Tunai Rahmah
Menduduki tangga kedua adalah carian tentang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) iaitu program bantuan wang tunai yang dijalankan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
STR diagihkan bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
3) Artis – Ruhainies
Pelakon Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas mengungguli senarai lima carian popular bagi kategori figura. Nama selebriti berusia 31 tahun ini mula ‘panas’ selepas dia ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama aktor Aliff Aziz. Kes khalwat pasangan selebriti ini ditangguhkan pada 20 dan 27 Februari tahun depan.
Berada dalam kategori yang sama adalah jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang di tangga kedua; pelakon Aliff Aziz di tangga ketiga; disusuli jaguh badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan bintang Selangor FC Faisal Halim, masing-masing di tangga keempat dan kelima.
4) Kematian – Liam Payne
Berita kematian bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne pada 16 Oktober lalu ternyata mengejutkan peminatnya di seluruh dunia.
Liam, 31, ditemukan maut selepas terjatuh daripada tingkat tiga balkoni bilik hotelnya di Buenos Aires, Argentina.
Punca kematian Liam masih menjadi tanda tanya ramai meskipun maklumat awal mengesahkan ia berkaitan dengan dadah dan minuman alkohol.
5) Rancangan TV – Queen of Tears
Drama ini menampilkan lakonan mantap gandingan Kim Soo-Hyun dan Kim Ji-Won. Ia mengisahkan pasangan suami isteri, Baek Hyun Woo (Kim Soo-Hyun) dan Hong Hae In (Kim Ji Won) yang berasal dari latar belakang berbeza.
Mereka berdepan dengan keretakan rumah tangga selepas satu tragedi.
Drama ini dikatakan mencapai rating tertinggi mengalahkan pemegang rekod sebelumnya, Crash Landing On You.
Sumber penulisan mStar
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.