RM3000 Dikreditkan Pada Januari 2025 – Penjawat awam merupakan nadi utama yang memastikan segala perancangan, dasar, dan perkhidmatan kerajaan dilaksanakan dengan berkesan. Mereka bukan sekadar pelaksana tugas, tetapi juga pemangkin kepada kemajuan negara, berperanan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
Daripada bidang kesihatan, pendidikan, keselamatan, hinggalah kepada pembangunan ekonomi, peranan penjawat awam tidak dapat disangkal lagi sebagai tulang belakang yang menggerakkan negara. Setiap hari, ribuan penjawat awam bekerja tanpa mengira waktu demi memastikan kelancaran operasi pelbagai sektor.
Para guru mendidik generasi muda, petugas kesihatan menyelamatkan nyawa, anggota keselamatan menjaga keamanan, dan kakitangan pentadbiran memastikan dokumen serta urusan rakyat diproses dengan cekap. Semua ini dilakukan dengan penuh dedikasi walaupun sering berdepan cabaran besar seperti beban kerja yang tinggi, tekanan masa, dan keperluan untuk sentiasa memenuhi kehendak masyarakat yang semakin kompleks.
Namun, sumbangan penjawat awam sering kali tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Mereka adalah wira tanpa nama yang berkhidmat di belakang tabir, memberikan komitmen sepenuhnya demi negara. Oleh itu, adalah penting untuk kita sebagai masyarakat menghargai peranan mereka dengan menunjukkan sokongan, mengiktiraf usaha keras mereka, serta memahami cabaran yang mereka lalui setiap hari.
Sebagai tanda penghormatan, pelbagai inisiatif boleh diambil, termasuk meraikan Hari Penjawat Awam, memberi insentif, atau meningkatkan kemudahan kerja mereka. Pihak Kerajaan juga telah memperkenalkan Bantuan Khas Kewangan sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan.
Bantuan Khas Kewangan (BKK) Sabah
Antara Negeri yang memperkenalkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) adalah Sabah dengan kadar sebulan gaji atau bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri berkenaan.
Bantuan khas ini akan diberikan kepada 18,949 penjawat awam negeri, termasuk pekerja yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat pada bulan Januari 2025 dengan cara dikreditkan terus ke akaun penerima. Oleh hal demikian, bantuan ini tidak melibatkan sebarang permohonan dan diberikan secara automatik.
“Bayaran bantuan khas kewangan ini yang membabitkan seramai 18,949 orang penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada Januari 2025,” kata Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Bantuan Khas Kewangan Persekutuan
Di peringkat Persekutuan pula, pihak Kerajaan telah bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak. Manakala, RM250 pula akan diberikan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.
Pembayaran bantuan khas ini akan dibuat pada Februari 2025 dengan cara dikreditkan terus ke akaun penerima yang layak.
“Sukacita saya mengumumkan, Kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat
awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Bantuan Khas Kewangan turut diberikan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250. Bantuan ini akan disalurkan pada bulan Februari 2025,” petikan ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Bantuan Khas Kewangan Negeri-Negeri
Selain itu, beberapa buah negeri lain turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan untuk tahun ini. Antaranya adalah Negeri Kedah dengan kadar sebanyak RM2,000 kepada 5,376 penjawat awam di negeri berkenaan sebagai penghargaan atas dedikasi mereka.
Sebahagian pembayaran bantuan itu akan dibuat pada bulan Mac 2025, manakala bakinya pada Jun 2025. Kerajaan Negeri Kedah menyediakan peruntukan RM12 juta bagi tujuan bantuan ini.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri Pahang pula mengumumkan kadar Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam negeri. Ia adalah sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan.
Kerajaan Negeri Johor turut memberikan Bantuan Khas Kewangan dengan kadar dua bulan gaji kepada sekitar 17,704 penjawat awam negeri itu. Bantuan berkenaan juga akan diberikan kepada kakitangan kerajaan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.
“Semoga insentif ini menjadi motivasi untuk meningkatkan kecemerlangan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor,” kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.