RM250,000 bagi latihan keusahawanan, digital anak muda Liga Muslim Pulau Pinang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-70 Liga Muslim Pulau Pinang dan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim Seluruh Malaysia di Pusat Konvensyen Setia SPICE malam ini. – Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan meluluskan peruntukan awal sebanyak RM250,000 untuk tujuan latihan bidang keusahawanan dan digital untuk anak muda Liga Muslim Pulau Pinang.

Beliau berkata peruntukan itu adalah bagi memastikan semua peluang yang disediakan kerajaan dapat digunakan sepenuhnya, supaya tidak wujud jurang digital antara golongan elit kaya dan masyarakat umum.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan tersebut boleh diselaraskan bersama pihak kementerian dan jabatan yang terlibat, untuk menyediakan latihan serta pendedahan awal kepada golongan itu.

“Saya luluskan RM250,000 sebagai permulaan asas dan saya percaya, boleh dimanfaatkan untuk memperkuat jentera dengan fokus kepada latihan-latihan keusahawanan.

“Saya juga menyeru agar Liga Muslim terus berperanan aktif dalam pendidikan, budaya, sejarah dan keusahawanan terutamanya dalam era digital masa kini,” kata beliau pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 Liga Muslim Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas dekat sini, malam ini.

Sementara itu, Anwar juga meminta anak-anak muda di negara ini untuk dipertajam dengan latihan dan pendedahan dalam bidang keusahawanan, kejuruteraan, digital dan kecerdasan buatan (AI), dalam memastikan negara mempunyai tenaga pakar yang mencukupi, selaras dengan status Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor terkemuka di rantau ini.

“Kita telah muncul sebagai pemain penting dan dianggap sebagai antara hab semikonduktor paling penting di rantau ini, pelaburan mengalir masuk, jadi kita perlukan masyarakat kita termasuk ahli-ahli anda, orang muda dan kanak-kanak untuk terlibat dalam aktiviti ini.

“Ia adalah untuk memastikan kita mempunyai pendedahan latihan yang mencukupi dalam bidang baharu ini seperti kejuruteraan, digital, AI, untuk memastikan kita menggunakan sepenuhnya fasiliti dan peluang-peluang baru,” kata beliau.

Sementara itu, berhubung permohonan masyarakat India Muslim yang dilahirkan di negara ini untuk diberi status Bumiputera yang dikatakan ditolak, Anwar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan melihat dan menguruskan perkara tersebut.

“Sama ada seseorang itu layak atau tidak, mereka perlu mematuhi proses biasa. Ia adalah permohonan individu, ia bukan mengenai jangka masa. Ia bergantung kepada permohonan individu. Ia bukan kumpulan atau persatuan, tetapi individu,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Terdahulu, Presiden Liga Muslim Malaysia Datuk Seri Najmudeen Kader memohon kerajaan untuk melihat kepada isu tersebut, berikutan menerima beberapa aduan daripada komuniti India Muslim di negara ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid. – Awani

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version