Risiko Membeli Lot Lidi Yang Tak Ramai Tahu

Risiko Membeli Lot Lidi – Aktiviti pecah tanah dan menjual lot lidi semakin banyak dilakukan terutama di bahagian kampung-kampung.

Salah satu puncanya kerana harga rumah semakin hari semakin mahal menyebabkan orang ramai mencari alternatif lain untuk memiliki hartanah.

Namun ramai tak tahu risiko sebenar membeli lot yang tiada geran individu ini.

Risiko Membeli Lot Lidi

Kegiatan menjual lot lidi yang semakin berleluasa berpunca dari masalah harga rumah yang semakin mahal, tiada ilmu berkaitan tanah dan keinginan untuk membina rumah di atas tanah sendiri.

Tinjauan mendapati kegiatan ini sering tertumpu di kawasan pinggir bandar, yang mana sasaran pembelinya terdiri dari penduduk-penduduk kampung, pesara atau keluarga muda.

Pentadbir-Pentadbir Tanah ingin memaklumkan bahawa terdapat banyak risiko yang akan dihadapi kepada pembeli-pembeli lot lidi.

Anda boleh membaca tulisan-tulisan di internet tentang risiko pembelian lot lidi ini dan kebanyakan hujah-hujah yang dikemukakan adalah benar belaka.

Risiko ini mungkin tidak berlaku pada masa sekarang, tetapi percayalah ianya akan berbangkit pada masa hadapan.

Secara ringkasnya, risiko-risiko yang perlu dihadapi adalah seperti berikut:

1. Nama Tiada Dalam Geran

Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah dengan melalui Surat Pemegang Amanah sahaja.

Hanya seorang yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran.

Sebagai contoh jika ada 12 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain.

Pemegang Amanah ini boleh jadi terdiri daripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah berkenaan.

Seperti yang pernah disebutkan di dalam artikel sebelum ini, geran adalah punca kuasa yang sangat penting di dalam apa-apa urusan tanah.

Jika nama tiada di dalam geran, mereka tidak layak untuk berurusan apa-apa mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah. 

2. Sukar Untuk Menjual Beli

Sekiranya salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya.

Sekiranya Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas apa-apa sebab (perbalahan, tiada masa, malas, nyanyuk, sudah meninggal dunia atau sebagainya) maka proses pertukaran nama itu tidak boleh berlaku.

3. Kesalahan Langgar Syarat Tanah

Lot lidi lazimnya ialah lot yang bersyarat pertanian.

Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah kesalahan serius seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara.

Anda akan dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas. 

4. Tiada Pampasan Jika Ada Pengambilan

Jika Kerajaan berhasrat untuk membuat pengambilan di atas tanah berkenaan kerana sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak mempunyai apa-apa hak untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan.

Hanya Pemegang Amanah yang akan dipanggil untuk sesi pendengaran malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja.

Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagi-bahagikan wang pampasan.

5. Tanah Tidak Boleh Diwariskan

Oleh kerana nama pemilik-pemilik lot lidi tidak didaftarkan di dalam geran, waris-waris si mati tidak boleh memulakan prosedur pesaka kerana secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah. 

6. Pemegang Amanah Meninggal Dunia

Ini adalah risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Jika Pemegang Amanah meninggal dunia, pembeli-pembeli lot lidi bolehlah diibaratkan seperti layang-layang terputus tali.

Memang benar mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah seperti yang disangka.

Anda akan berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan. 

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version