
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor akan melancarkan Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 atau SYUKUR pada 19 Februari 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran, jam 10 pagi.
Secara dasarnya Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR ini akan memberi manfaat kepada 100,000 penerima di seluruh negeri.
Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025,
Penerima bagi program ini membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024.
Amaun pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara “lump-sum” bagi tempoh tiga (3) bulan iaitu sebanyak RM900 yang akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Fasa satu pada Januari-Mac 2025, diagihkan bermula Februari manakala fasa kedua (April – Jun 2025), diagihkan bermula April; fasa ketiga (Julai – September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober – Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.
Antara objektif SYUKUR ialah untuk meringankan beban kewangan penerima bagi memenuhi keperluan asas mereka; menyokong golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa; mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah menerusi bantuan berterusan; dan sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.