KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Polis menahan datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu, hari ini.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu dan berkata pasangan itu ditahan 2.30 petang tadi.
Bernama difahamkan mereka ditahan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Selangor di kediaman mereka di Subang Bestari, Puncak Alam dan permohonan reman dijangka dilakukan esok.
Hari ini, Bernama melaporkan Mahkamah Majistret di sini hari ini merekodkan bantahan peguam yang mewakili ibu kanak-kanak itu terhadap permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan salah wanita tersebut berhubung siasatan kes pembunuhan anaknya.
Peguam Fahmi Abd Moin, yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan, dilaporkan berkata bantahan terhadap permohonan polis yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 itu direkodkan oleh Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.
Ibu bapa kanak-kanak malang itu ditahan pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor dan tahanan reman mereka selama 13 hari berakhir esok.
umber: BERNAMA
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.