
SHAH ALAM – Kegiatan menjual tapak bazar kepada pihak ketiga berlaku antara sesama peniaga secara suka sama suka dan bukannya membabitkan persatuan penjaja.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman menegaskan, kegiatan tersebut sudah lama berlaku terutama melibatkan tapak di Lorong Masjid India, Kuala Lumpur.
“Harga tapak bazar Ramadan yang dijual semula kepada pihak ketiga boleh mencecah sehingga RM30,000 bergantung kepada lokasi.
“Tapak yang dijual adalah kategori jualan barang kering seperti pakaian, perhiasan dan sebagainya dan bukan tapak jualan makanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.
Dalam pada itu, Rosli menyambut baik ketegasan Perdana Menteri dan mengakui, pihaknya sudah lama menyarankan pihak bertanggungjawab supaya mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang terlibat dengan kegiatan tersebut.
Beliau berkata, pelbagai kaedah digunakan untuk mengaburi pihak penguat kuasa supaya urus niaga tersebut tidak dapat dikesan.
“Bagi mengelakkan kegiatan jual tapak dikesan, peniaga akan letak nama orang ketiga (penyewa asal tapak) sebagai pembantu.
“Jadi penguat kuasa tak boleh tangkap (pihak ketiga) kerana dia dilantik sebagai pembantu, sedangkan pembantu itulah pemilik sebenar perniagaan.
“Walaupun tuan asal ada di tapak perniagaan, dia sebagai tunggul sahaja. Ini yang licik, sukar nak kesan dan tangkap,” dakwanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini berbanding diuruskan pihak penganjur sebelum ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.
Menurutnya, inisiatif itu bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
Sumber Sinar Harian
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.