
mySalam 2025: Semakan Kelayakan & Cara Membuat Tuntutan
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan telah mengumumkan bahawa skim MySalam akan diteruskan untuk tahun 2025.
Skim ini menyediakan pembayaran tunai untuk mereka yang didiagnosis dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal dan pembayaran tunai RM50 sehari hospitalisasi untuk maksimum 14 hari.
Table of Contents
MySalam 2025
MySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma yang memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak menerima manfaat skim Perlindungan Masyarakat MySalam melalui Tabung Amanah MySalam.
Ketika awal diperkenalkan pada Januari 2019, penerima yang layak adalah terdiri daripada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40% terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR).
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju Skim mySalam telah diperluas untuk turut meliputi penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis.
Semakan Kelayakan mySalam 2025

Semakan kelayakan bagi tahun 2025 sudah boleh dibuat bermula dari 8 Februari 2025 di portal mySalam.
>> Sila pastikan semua dokumen tuntutan dan maklumat bank anda adalah lengkap dan tepat.
Jika anda layak untuk skim mySalam tetapi tidak menerima SMS, sila e-mel di [email protected].
Atau hubungi talian mySalam di 1 300 888 938 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Tujuan MySalam
Kerajaan ingin menyediakan sebuah skim pelindungan kesihatan sosial untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.
Perlindungan takaful adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk membantu dan memudahkan kumpulan berpendapatan rendah untuk menjalani kehidupan yang normal apabila berhadapan dengan cabaran kewangan akibat dari penyakit yang dihidapi.
Manfaat
Skim ini menawarkan perlindungan Takaful asas yang merangkumi 2 jenis manfaat, iaitu;
Manfaat Hospitalisasi
Sekiranya penerima mySalam dimasukkan ke wad hospital kerajaan, hospital universiti, dan hospital angkatan tentera, penerima mySalam layak untuk menuntut pendapatan gantian sebanyak RM 50 sehari, terhad kepada 14 hari atau RM 700 setahun.

NOTA:
- Pastikan anda membawa dokumen wajib yang diperlukan untuk tuntutan manfaat ini. Rujuk gambar di atas untuk mengetahui dokumen yang diperlukan.
- Penerima mySalam perlu bermalam di wad untuk layak menuntut manfaat ini.
Manfaat Penyakit Kritikal
Sekiranya penerima mySalam disahkan mengidap salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang tersenarai di mySalam, ahli mySalam tersebut boleh menuntut manfaat bernilai RM 8,000 dari mySalam yang akan dibayar sepenuhnya ke akaun ahli mySalam sekali seumur hidup.
Kelayakan untuk menjadi ahli mySalam ini adalah sepenuhnya berdasarkan kelayakan dalam Skim Bantuan Tunai Rakyat (BR1M, BSH, BPR, BKM, dan STR) yang dipohon dan diproses melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri pada setiap tahun.
Semua penerima Bantuan Tunai Rakyat yang menepati kriteria umur yang ditetapkan akan layak menjadi ahli mySalam secara automatik.
Kriteria umur adalah seperti kategori berikut:
- Kategori Berkahwin – Individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan.
- Kategori Bujang – Individu bujang yang berumur 21 hingga 65 tahun.
- Kategori OKU – Individu yang berumur 18 hingga 65 tahun.

NOTA: Pastikan anda membawa dokumen wajib yang diperlukan untuk tuntutan manfaat ini. Rujuk gambar di atas untuk mengetahui dokumen yang diperlukan.
Syarat Kelayakan
Penerima mySalam adalah individu yang menerima bantuan program khas kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Kelayakan mySalam akan dimaklumkan secara berperingkat kepada penerima mySalam.
Pengumuman kelayakan akan dikongsi melalui kiriman SMS ke nombor telefon yang dikemaskini dalam program-program yang didaftar oleh penerima seperti yang disebut di atas.
Semakan Kelayakan mySalam
Sila rujuk langkah di bawah untuk semakan status kelayakan MySalam 2025 anda.
Maklumat lanjut seperti kelayakan Skim, butiran manfaat, manfaat kelayakan, status tuntutan, senarai hospital dan lain-lain boleh diakses melalui portal www.mysalam.com.my.
Log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan anda dan kata laluan yang dihantar melalui SMS (atau kata laluan terkini yang telah anda tetapkan).
Anda juga boleh mendapat bantuan di kiosk-kiosk MySalam terdekat.
Cara Buat Tuntutan
Pengendali takaful yang mengambil bahagian akan memproses bayaran untuk tuntutan yang berjaya dengan mengkreditkan wang terus ke akaun penerima, seperti yang didaftarkan di bawah skim Bantuan Sara Hidup Rakyat.
Anda boleh rujuk kepada arahan berikut untuk membuat tuntutan:
I. Tuntutan penyakit kritikal
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan)
Langkah 2: Klik ‘Muat turun Borang’ dan muat turun borang ‘Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor’, berdasarkan jenis penyakit kritikal
Langkah 3: Dapatkan doktor atau pakar yang merawat anda untuk melengkapkan borang ‘Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor’
Langkah 4: Log masuk ke www.mysalam.com.my dan klik ikon ‘Tuntutan’, kemudian ikon ‘Penghantaran Tuntutan’. Skrol ke bawah laman dan klik ikon ‘Tuntutan Penyakit Kritikal’.
Langkah 5: Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Muat naik’ untuk memuat naik berikut dalam format *.pdf atau *.jpeg
a) Borang Penyakit Kritikal – Kenyataan Doktor
b) Salinan dokumen pengenalan, cth Kad Pengenalan (depan dan belakang)
Langkah 6: Klik butang ‘Hantar’ untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
II. Tuntutan hospitalisasi
Langkah 1: Layari www.mysalam.com.my dan log masuk menggunakan No. Kad Pengenalan (No. KP) dan kata laluan yang dihantar kepada anda melalui SMS (atau kata laluan terkini yang anda telah tetapkan)
Langkah 2: Klik ikon ‘Tuntutan’, kemudian ikon ‘Penghantaran Tuntutan’. Skrol ke bawah laman dan klik ikon ‘Tuntutan Hospitalisasi’.
Langkah 3: Masukkan maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Muat naik’ untuk memuat naik berikut dalam format *.pdf atau *.jpeg
a) Salinan Nota Discaj
b) Salinan dokumen pengenalan, cth Kad Pengenalan (depan dan belakang)
Langkah 4: Klik butang ‘Hantar’ untuk melengkapkan proses penghantaran tuntutan.
Berapa Lamakah Tuntutan Diproses?
Anggaran masa untuk memproses kedua-dua tuntutan hospitalisasi dan Penyakit Kritikal ialah sepuluh (10) hari bekerja setelah menerima dokumen tuntutan yang lengkap.
Tetapi, jika dokumen atau maklumat diterima tidak lengkap, ianya mungkin mengambil masa lebih lama atau sehingga dokumen yang diperlukan telah diterima untuk memproses tuntutan.
Status tuntutan boleh diakses melalui portal atas talian www.mysalam.com.my.
Mereka yang membuat tuntutan juga akan dimaklumkan melalui SMS samada tuntutan mereka diluluskan atau tidak.
Jumlah bayaran yang diterima bergantung kepada pengesahan dan jenis tuntutan anda.
Wang akan dikreditkan ke akaun yang anda isikan dalam borang permohonan.
Pertanyaan & Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan mySalam 2025, anda boleh hubungi Pusat Panggilan MySalam yang beroperasi 24 jam di talian 1 300 888 938.
Atau, boleh juga emailkan ke alamat berikut: [email protected]
Atau, lawat kios MySalam di Hospital Kerajaan terdekat.
Layari laman web rasmi mySalam di pautan berikut: https://www.mysalam.com.my/
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.