Mandi wajib anda tak sah jika buat 5 kesilapan ini

Mandi wajib, atau mandi junub, merupakan amalan utama dalam Islam untuk membersihkan diri secara fizikal dan spiritual.

Ia diwajibkan selepas situasi tertentu seperti hubungan intim, haid, nifas, atau keluarnya mani.

Pelaksanaan mandi wajib juga penting bagi memastikan sahnya ibadah seperti solat.

Namun, pernahkah anda terlintas bahawa mungkin terdapat kesilapan yang membuatkan mandi wajib anda tidak sah?

Berikut adalah beberapa perkara yang kerap diabaikan dan boleh menyebabkan ketidaksahan mandi wajib.

1. Bahan penghalang pada rambut dan kulit

Sebelum mandi wajib, penting untuk memastikan tiada bahan yang menghalang air daripada sampai ke rambut atau kulit.

Contohnya, bagi lelaki, penggunaan pomad atau gel rambut boleh menjadi halangan.

Semua bahan ini perlu dibersihkan terlebih dahulu sehingga tiada sisa yang tertinggal.

Bagi mereka yang bekerja dengan bahan seperti gam kayu atau pelekat, pastikan bahan tersebut dibersihkan sepenuhnya sebelum mandi wajib.

Jika tidak, air tidak dapat menyentuh kulit dan mandi wajib menjadi tidak sah.

2. Kotoran di celah kuku

Kotoran pada kuku yang menghalang air boleh menyebabkan mandi wajib tidak sah. -Gambar hiasan

Kotoran yang melekat pada kuku juga boleh menyebabkan mandi wajib tidak sah jika ia menghalang air daripada sampai ke kulit atau kuku.

Menpandangan ulama, jika kotoran itu jelas kelihatan dan menghalang air, maka mandi wajib tidak sah.

Namun, jika ia adalah kotoran semula jadi seperti daki yang tidak menghalang air, mandi wajib tetap sah.

Merujuk al-Majmu’ Syarah Muhazzab, meratakan air ke seluruh anggota badan, termasuk kulit, rambut dan kuku, adalah syarat penting mandi wajib.

3. Eyelash Extension (sambungan bulu mata)

Bagi wanita yang menggunakan eyelash extension untuk tujuan kecantikan, ia boleh menjejaskan sahnya mandi wajib jika ia bersifat kalis air.

Memasang bulu mata palsu untuk tujuan kecantikan tidak dibenarkan dalam Islam. – Gambar hiasan

Menurut Mazhab Syafie, air mesti sampai ke setiap bahagian tubuh, termasuk bulu mata asli. Jika sambungan bulu mata menghalang air, ia mesti ditanggalkan sebelum mandi wajib.

Namun, jika bahan tersebut membenarkan air tembus, mandi wajib tetap sah.

Imam al-Nawawi menegaskan dalam kitab al-Majmu’: “Jika ada bahan yang menghalang air seperti lilin atau gam, mandi tidak sah sehingga bahan itu dihilangkan.”

4. Mandi wajib menggunakan syampu dan sabun

Air yang sudah dicampur dengan syampu dan sabun tidak dikira sebagai air mutlak. Foto gambar hiasan.

Walaupun membersihkan diri dengan sabun dan syampu adalah rutin harian, mandi wajib tidak boleh dilakukan sepenuhnya menggunakan air yang sudah bercampur dengan bahan tersebut.

Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, air sabun atau syampu tidak dikira sebagai air mutlak untuk mengangkat hadas besar.

Dia turut menjelaskan bahawa syarat sah mandi junub adalah memastikan air yang digunakan tidak berubah sifat (mutaghayyir) akibat sabun atau syampu.

Sabun dan syampu boleh digunakan untuk membersihkan kotoran sebelum mandi wajib, tetapi mandi wajib mesti diselesaikan dengan air mutlak sahaja.

5. Tiada niat

Niat merupakan langkah pertama sebelum mandi wajib. -Gambar hiasan

Salah satu sebab utama mandi wajib menjadi tidak sah adalah apabila tidak dimulakan dengan niat.

Niat adalah syarat utama yang perlu dilafazkan dalam hati serentak dengan aliran air pertama ke tubuh.

Contoh niat mandi wajib:

Bahasa Arab:

“Nawaitul ghusla liraf’il hadasil akbari fardhan lillaahi ta’aalaa.”

(Aku berniat mandi wajib untuk mengangkat hadas besar, fardu kerana Allah Ta’ala.)

Bahasa Melayu:

“Sahaja aku mandi wajib untuk mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala.”

Tanpa niat, mandi wajib tidak sah.

Mandi wajib bukan sekadar ritual membersihkan diri tetapi juga syarat utama untuk memastikan ibadah seperti solat diterima.

Oleh itu, memahami dan mematuhi syarat-syarat sah mandi wajib adalah amat penting bagi setiap Muslim.

Dengan pengetahuan ini, marilah kita sentiasa berhati-hati dan memastikan mandi wajib dilakukan dengan sempurna agar ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version