Skip to content

Kes Zayn Rayyan ‘Drama’ kian terungkai

  • Berita

Petaling Jaya: Risikan selama enam bulan sejak hari pertama kejadian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibunuh yang menjuruskan perlakuan itu dilakukan ibu bapanya menjadikan misteri kematiannya kian terungkai.

Menurut sumber, polis tidak pernah berputus asa menyelesaikan kes ini sebaik keputusan bedah siasat pada 7 Disember lalu menunjukkan Zayn Rayyan maut dibunuh.

“Sejak itu pasukan forensik turun ke lokasi kejadian termasuk membuat pemeriksaan di blok kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi mencari petunjuk termasuk kediaman keluarga Zayn Rayyan.

“Hasil dapatan dan risikan selama enam bulan itu menyimpulkan pembabitan ibu bapanya dalam pembunuhan ini dan sebab itu mereka ditahan semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber berkata, siasatan juga menjurus kepada keluarganya sendiri berikutan ketika kejadian mangsa bersama ibunya dan dijemput dari tadika pun oleh wanita terbabit.

Dalam konteks ini, orang terakhir bersama mangsa adalah ibunya sendiri.

“Polis mendapat reman seminggu dan hasil dapatan siasatan akan digunakan bagi mendapatkan pengakuan mereka berdua,” katanya.

Susulan itu, polis menyiasat motif sebenar pembunuhan Zayn Rayyan selepas penahanan mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bermula kelmarin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, motif pembunuhan juga setakat ini masih dalam siasatan.

“Mereka berdua (ibu bapa) direman seminggu bermula hari ini (semalam) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Penangkapan mereka berpandukan hasil risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut belum dapat didedahkan buat masa ini.

“Ibu bapa terbabit ditahan jam 10.05 pagi semalam (kelmarin) oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada Disember tahun lalu, ditahan polis Khamis lalu.

Pada 7 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Sumber HMetro

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version