Kebakaran paip gas: Bantuan tunai RM5,000 untuk pemilik rumah terjejas, RM2,500 kepada mangsa – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Kebakaran besar paip gas berlaku hari ini di Putra Heights, Selangor, pada hari kedua Aidilfitri menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Kebakaran yang bermula pada waktu pagi membabitkan kebocoran paip gas PETRONAS, dengan api menjulang tinggi membentuk seperti cendawan sehingga dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya.

Situasi sekitar laluan menghala ke lokasi kebakaran saluran paip gas Putra Heights pagi ini. Laluan menghala ke lokasi kebakaran saluran paip gas ditutup kepada orang ramai oleh pihak polis bagi memastikan keselamatan awam. Operasi pemadaman kini sedang giat dijalankan. – foto BERNAMA

Pihak berkuasa mengesahkan beberapa rumah terjejas, dengan anggota bomba bertungkus-lumus menyelamatkan penduduk yang terperangkap serta memberikan bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights.

Penduduk sekitar yang ditemui menyifatkan kejadian itu bagaikan satu bencana gempa bumi yang dahsyat.

Berikut adalah butiran kejadian itu:

8:10 pagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) menerima panggilan awal mengenai kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.

8:22 pagi Pasukan pertama bomba dan penyelamat dari JBPM Subang Jaya tiba di lokasi, kira-kira 12km dari balai mereka.

8:23 pagi JBPM Selangor secara rasmi mengumumkan penerimaan laporan mengenai insiden tersebut.

# Kebakaran membabitkan kebocoran paip gas PETRONAS dengan anggaran sepanjang 500 meter menyebabkan api menjulang tinggi dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.

# Anggota bomba dan agensi lain sedang menjalankan pemindahan penduduk di kawasan perumahan berdekatan.

# Pihak berkuasa mengesahkan bahawa stesen minyak PETRONAS berhampiran tidak terbakar; hanya paip gas utama sepanjang 500 meter yang terjejas. Injap paip tersebut telah ditutup, dan kebakaran dijangka berterusan hingga gas yang tertinggal habis terbakar.

# (Laporan awal) Kebakaran telah merebak ke beberapa rumah berhampiran. Jumlah rumah yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

# Setakat laporan awal 25 diberi rawatan awal di sebuah kuil berhampiran.

10:00 pagi Api masih marak. PETRONAS telah menutup injap pada paip gas yang terjejas, tetapi jarak dari lokasi kebakaran ke injap tersebut belum diketahui.

10:00 pagi Anggota bomba menyelamatkan tujuh mangsa, termasuk dua warga emas. Jumlah keseluruhan mangsa serta tahap penyebaran api ke rumah-rumah lain masih dalam penilaian.

# (Terkini) Mangsa yang diselamatkan telah dibawa ke Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights,yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebahagian mangsa mengalami kesan melecur dan sedang menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan. Pihak masjid kini turut membantu mangsa.

10.35 PAGI 25 mangsa terima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan, lima daripadanya dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.Antara kecederaan dilaporkan adalah luka, melecur dan kesukaran bernafas.

10.54 pagi PETRONAS Gas Berhad (PGB) mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utamanya berhampiran Putra Heights, Puchong pada jam 8.10 pagi tadi.

11.14 PAGI Tenaga Nasional Berhad (TNB) maklumkan bekalan elektrik di kawasan sekitar Subang dan Putra Heights terjejas.

11.15 PAGI TNB gerakkan pasukan teknikal ke lokasi kejadian bagi menilai situasi semasa.

# PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, saluran paip utama gas bawah tanah yang menjadi punca kebakaran besar itu sudah diasingkan manakala pihak berkepentingan turut dimaklumkan berhubung perkara itu.

“Stesen runcit PETRONAS berhampiran lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights tidak terjejas.

11 pagi Jabatan Alam Sekitar (JAS) menghantar pasukan membuat pemantauan kualiti udara susulan kebakaran saluran paip gas.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS Selangor sudah menghantar pasukan ke lokasi berkenaan bagi membuat penilaian awal.

“Orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan berdekatan kebakaran,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

11.15 pagi PLUS mengumumkan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra ditutup untuk semua kenderaan susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, yang berhampiran lebuh raya itu.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataannya memaklumkan penutupan itu sebagai langkah keselamatan khususnya kepada pengguna jalan raya yang melalui dua arah laluan berkenaan.

Pengguna yang menghala ke selatan akan dilencongkan ke Plaza Tol Seafield dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Bandar Saujana Putra.

Pengguna yang menghala ke utara diarahkan keluar di Plaza Tol Bandar Saujana Putra dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Seafield.

1.30 tengah hari Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Polis Mohd Zaini Abu Hassan, mengesahkan seramai 112 penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru cedera akibat kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Jumlah penduduk itu adalah penghuni 49 kediaman yang terjejas terdiri daripada 37 rumah di Taman Harmoni dan 12 rumah di Kampung Sungai Baru.

Seramai 49 mangsa kini berada di Kuil Sri Maha Kaliamman untuk mendapatkan rawatan awal di pusat rawatan sementara (medic base) yang dibuka oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhampiran lokasi.

Seramai 63 mangsa dirawat di tiga hospital iaitu Hospital Putrajaya dan Hospital Cyberjaya manakala mereka yang cedera serius dihantar ke Hospital Serdang.

1.51 tengah hari PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula laluan antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) (Arah Selatan).

Susulan insiden kebakaran di Putra Heights berhampiran Lebuhraya ELITE, laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra ditutup untuk semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.

Sehubungan itu, PLUS mengucapkan terima kasih atas sokongan, kerjasama dan kesabaran semua pengguna lebuh raya semasa tempoh penutupan laluan dijalankan.

1.55 tengah hari Kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Heights semakin berkurangan – KP Bomba

2 petang PM Anwar minta Kerajaan Negeri Selangor, agensi terbabit beri bantuan sewajarnya kepada mangsa terjejas kebakaran paip gas.

4.30 petang Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata sebanyak 190 unit rumah rosak dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.

Tragedi berkenaan turut menyebabkan 148 kereta dan 11 motosikal rosak.

4.57 petang Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di lokasi insiden kebakaran saluran paip gas PETRONAS di Putra Heights.

Perdana Menteri hadir bagi meninjau dan mendengar taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian itu.

Ketibaan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Selepas taklimat, Perdana Menteri dijangka melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

5 petang Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai RM5,000 untuk pemilik rumah terjejas, RM2,500 kepada mangsa

5.50 petang Bomba Selangor mengumumkan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dapat dipadamkan sepenuhnya jam 3.45 petang

5.50 petang Tiada kematian setakat ini dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pagi tadi – Menteri Kesihatan

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version