Jenazah bayi dibeku: Hospital Bersalin Razif dakwa pasangan tak berkahwin, ibu rayu tak lapor polis

Sumber imej Sinar Harian

SHAH ALAM – Hospital Bersalin Razif (HBR) tampil memberikan respons berhubung kes jasad bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu gara-gara bapa dikatakan tidak mampu melunaskan bil hospital.

Pengurusan HBR berkata, pihaknya menafikan dakwaan menahan jasad bayi tersebut, sebaliknya membenarkan keluarga pesakit menuntut dan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran sebanyak RM2,480.

Menurut hospital swasta berkenaan, perbincangan turut dibuat antara kedua-dua pihak sama ada ingin melibatkan polis atau sebaliknya bagi membantu menguruskan pengebumian, tetapi pesakit merayu untuk tidak berbuat demikian.

“Dia kata semua keputusan dibuat oleh ‘suami’ (pesakit ada mengaku tidak berkahwin). HBR cuba dapatkan maklumat tentang keluarga, tetapi dia enggan memberitahu. Katanya tinggal di rumah sewa bersama ‘suami’ dan tiada saudara-mara atau rakan terdekat.

“Kemudian pesakit kata ‘suami’ akan aturkan. Oleh itu, HBR menunggu mereka ambil bayi untuk pengebumian.

“Pesakit dilayan dengan baik di hospital dan mendapat khidmat kaunseling, bahkan diberi makanan percuma.

“Si ‘suami’ datang melawat hanya beberapa minit setiap dua hingga tiga hari. Percubaan untuk berbincang tentang pengebumian gagal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara terbabit sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi bernama Muhammad Adham Mikail kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendi anak syurga terbabit.

Difahamkan, Muhammad Adham Mikail yang dilahirkan pada 24 November lalu mengalami sindrom siklop iaitu lahir dengan hanya satu mata, tiada hidung dan tanpa dubur.

Sementara itu, HBR menjelaskan, pihaknya terpaksa menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan walaupun tanpa tempahan dan pemeriksaan saringan awal.

Menurutnya lagi, pesakit sudah dihantar ke ruang bersalin dan perlu melahirkan serta-merta, namun sepanjang prosedur itu berlangsung, si ‘suami’ dipercayai tidak menemaninya sama sekali.

“Pesakit yang mendakwa ini kehamilan pertamanya datang ke HBR dan tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal, hanya memantau kandungan menggunakan aplikasi telefon.

“Memandangkan sakit bersalin yang kuat, dia terus ke bilik pemeriksaan. Doktor menjelaskan kepada ‘suami’ tentang keadaan bayi dan memintanya untuk melaungkan azan.

“Suntikan rutin diberi, namun bayi tersebut bertukar pucat kebiruan dan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

“Permit pengebumian sudah ditandatangani, malah doktor beritahu aturkan pengebumian pada keesokan hari, tetapi ‘suami’ hanya meninggalkan hospital dengan alasan perlu pergi ke tempat lain,” ujarnya. – Sinar

 

PENAFIAN

Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.

Exit mobile version