PUTRAJAYA – Penjawat awam dan pesara kerajaan bakal menerima bayaran gaji serta pencen lebih awal bagi November iaitu masing-masing pada 14 dan 17 November depan berbanding pada 25 hari bulan kebiasaannya.
Menerusi surat dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 7 November lalu, Perbendaharaan Malaysia dimaklumkan telah bersetuju untuk meluluskan permohonan pengecualian AP 105 bagi membolehkan pengeluaran gaji dan pencen diawalkan.
“Permohonan pengecualian AP 105 telah diluluskan supaya pembayaran awal emolumen kepada penjawat awam dan pencen kepada pesara kerajaan bagi November tahun 2022 dapat dilaksanakan.
“Bayaran pencen kepada penjawat awam akan dibuat pada 14 November (Isnin) manakala bayaran emolumen kepada penjawat awam pula pada 17 November ini (Khamis),” jelas surat tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan kerajaan sedang mengkaji kemungkinan pemberian cuti khas serta bayaran gaji awal sebagai inisiatif kerajaan bagi membolehkan pengundi pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini Kosmo! Online turut melaporkan tentang keluhan daripada orang ramai yang memaklumkan masih dalam dilema sama ada mahu pulang ke kampung atau tidak untuk menjalankan tanggungjawab mengundi susulan penetapan tarikh PRU15 pada 19 November ini.
Ia kerana pada tarikh tersebut, kakitangan swasta mahupun kerajaan masih belum menerima bayaran gaji di mana kebiasaannya diperoleh pada 25 hari bulan setiap bulan. – SUMBER KOSMO! ONLINE
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.