Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) adalah inisiatif di bawah Kementerian Perikanan Dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Perikanan Malaysia.
Artikel kali ini bertujuan untuk memperjelas kaedah pelaksanaan bayaran elaun sara hidup nelayan darat berjumlah RM250.00 setiap bulan.
Perkongsian ini juga adalah bertujuan untuk memberi panduan dan rujukan kepada Jawatankuasa Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) Ibu Pejabat Perikanan dan Pejabat Perikanan Negeri bagi melaksanakan bayaran elaun sara hidup ini secara sekata di seluruh negara.
Pejabat Perikanan Negeri merangkumi Jabatan Pertanian Sarawak bagi Negeri Sarawak dan Jabatan Perikanan Sabah bagi Negeri Sabah.
Kelayakan Pemohon
Syarat Kelayakan
- Memiliki MyKad (Biru).
- Mendapat Pengesahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)/Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) /Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP)/Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) ataupun ketua badan-badan komuniti nelayan kawasan yang ditubuhkan di bawah penyeliaan Jabatan Perikanan Malaysia bagi Semenanjung Malaysia, Jabatan Pertanian bagi Sarawak dan Jabatan Perikanan Sabah bagi Sabah.
- Ketua Isi Rumah atau salah seorang daripada ahli keluarga yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
- Bayaran elaun sara hidup bulanan ini hanya disalurkan kepada nelayan darat tulen sahaja.
- Definisi nelayan darat tulen adalah seperti berikut:
- warganegara Malaysia berumur tidak kurang daripada 18 tahun yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan di perairan sungai (termasuk tasik, bekas lombong, empangan dan lain-lain perairan umum); dan
- menjalankan aktiviti penangkapan ikan tidak kurang daripada 25 hari setiap bulan; dan
- sekurang-kurangnya 75 peratus jumlah pendapatan adalah daripada penangkapan ikan; dan
- tiada pekerjaan yang memberikan pendapatan tetap; dan
- bebas dari aktiviti penagihan dadah dan menjalani saringan air kencing dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); dan
- tidak mempunyai caruman dan akaun KWSP yang aktif; dan
- mempunyai lesen perkakas atau vesel menangkap ikan atau berdaftar secara pentadbiran dengan Jabatan Perikanan Malaysia bagi Semenanjung Malaysia, Jabatan Pertanian bagi Sarawak dan Jabatan Perikanan Sabah bagi Sabah
Pendaftaran Pemohon Elaun Sara Hidup Nelayan Darat
Nelayan darat tulen perlu mengisi Borang Permohonan Program Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dengan menyertakan dokumen seperti berikut:
- Salinan MyKad; dan
- Salinan lesen perkakas atau vesel menangkap ikan yang masih sah berkuatkuasa bagi nelayan yang telah memiliki lesen; dan
- Salinan Borang Pendaftaran dan Pengesahan Nelayan Darat; dan
- Salinan buku akaun Agrobank atau bank yang bersesuaian sekiranya tiada perkhidmatan Agrobank di lokasi tersebut; dan
- Gambar pemohon.
- Lain-lain dokumen sokongan (jika perlu).
Tempat Pendaftaran
Permohonan boleh dikemukakan kepada Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran.
Senarai pejabat perikanan daerah boleh rujuk di laman web rasmi Jabatan Perikanan Malaysia.
Kaedah Pembayaran
- Pembayaran elaun sara hidup bulanan kepada nelayan darat tulen yang layak adalah melalui akaun Agrobank atau bank yang bersesuaian sekiranya tiada perkhidmatan Agrobank di lokasi tersebut.
- Pembayaran akan dibuat oleh Pejabat Perikanan Negeri ke akaun penerima melalui pihak Agrobank.
Kadar Bayaran
Kadar bayaran elaun sara hidup bulanan adalah sebanyak RM250.00 bagi setiap nelayan darat tulen yang layak.
BORANG PERMOHONAN
1. Borang Permohonan Elaun Nelayan Darat
2. Borang Pembaharuan Elaun Nelayan Darat
Bagi melihat lebih terperinci sila ke Halaman Rasmi Jabatan Perikanan Malaysia di
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.