WALAUPUN revolusi seksual adalah suatu yang salah dan menghinakan manusia, kita masih dapat memahami kenapa ia berlaku dan dipertahankan di barat. Yang kita hairan ialah kenapa bangsa timur yang tiada faktor-faktor yang sama juga ingin turut serta merevolusikan tingkah laku seksual kita?
Menurut Profesor Malik Badri dalam bukunya Aids Crisis, letusan ‘gunungan berapi’ revolusi seksual di barat pada era hippies 1960-an/1970-an mempunyai punca akar yang sangat dalam dan bersifat multidimensi beberapa dekad sebelum itu lagi umpama gunung berapi tidak aktif yang menunggu masa untuk meletus pada era 1970-an/1980-an.
1. Dimensi sejarah – Revolusi seksual di barat lahir daripada sifat memberontak terhadap sikap kolot agama yang menganggap seks sebagai suatu dosa dan kotor dan tidak berkahwin dianggap sebagai satu yang suci berbanding berkahwin. Padahal Islam menganggap hubungan seks dalam perkahwinan sebagai jalan untuk memenuhi fitrah normal manusia malah mendapat pahala ibadah.
Barat juga suka menganggap akar sejarah mereka adalah daripada Tamadun Greek dan Rom yg tidak berasaskan agama dan dewa-dewanya mengamalkan seks bebas dan seks songsang. Padahal tamadun-tamadun timur lebih berasaskan agama dan memandang seks di luar nikah dan seks songsang sebagai suatu yang bertentangan dengan akhlak agama dan budaya timur.
2. Dimensi falsafah – Dengan pemisahan sains daripada agama khususnya agama Kristian, sains telah menjadi pseudo-agama yang baharu untuk menggantikan agama dalam menerangkan apa itu manusia, dari mana manusia datang, apakah peranan manusia di muka bumi ini dan ke mana manusia selepas mati.
Akhlak dan etika sudah menjadi suatu yang relatif dengan tersingkirnya agama sebagai panduan dalam kehidupan sebab agama dianggap sebagai suatu yang memundurkan dan hanya sesuai untuk urusan-urusan peribadi seperti ibadah, nikah-kahwin dan kematian – sekadar menyebut beberapa contoh.
Padahal tamadun Islam tidak memisahkan antara aspek kebendaan dan kerohanian. Malah aspek kerohanian Islam adalah asas kepada pembangunan politik, ekonomi dan sosial.
3. Dimensi psikologi – Semua perspektif besar psikologi seperti psikoanalisis (dengan faktor luar sedarnya), behaviourisme (dengan faktor persekitarannya) dan humanisme (dengan faktor kendirinya) walaupun saling mengkritik antara satu sama lain, ideologi mereka tetap berasaskan sekularisme dan menyumbang kepada faktor-faktor letusan revolusi seksual. Psikoanalisis taasub dengan teori psikoseksual sejak zaman bayi hingga dewasa.
Behaviourisme pula taasub dengan ketiadaan konsep berakhlak atau tidak berakhlak, hanya peneguhan dan hukuman daripada pengalaman/persekitaran. Manakala humanisme taasub dengan aktualisasi kendiri yang memberi kebebasan individu untuk membuat apa sahaja – berakhlak atau tidak berakhlak – untuk mencapainya.
Padahal psikologi Islam di zaman keemasan Islam menggabungkan faktor luar sedar, persekitaran, kendiri, kognitif serta rohani dan memahami kecenderungan manusia untuk memenuhi hawa nafsu seks tabi’i tapi turut memberi panduan untuk mencapai kebahagiaan hakiki.
4. Dimensi biologi – Gene, neuron dan hormon telah disalahgunakan oleh barat untuk tidak menyalahkan pelaku seks sumbang dan seks songsang. Padahal saintis barat yang amanah tidak membuat kesimpulan semudah itu.
Malah saintis Islam mempunyai kerangka yang lebih menyuruh meliputi interaksi biologi dan persekitaran di mana rohani menjadi asas yang mengawal pengaruh-pengaruh hawa nafsu seksual.
5. Dimensi bahasa – Bahasa dimanipulasikan untuk mengurangkan rasa berdosa untuk jenayah zina dan liwat. Contohnya daripada adultery, fornication dan sodomy yang berunsur agama, perkataan lebih neutral seperti promiscuity, homosexuality, sexual-orientation dan sexual-variation digunakan.
Kemudian, perkataan yang lebih positif digunakan seperti extra-marital relation dan with more than one sex partner. Akhirnya, mereka memperkenalkan perkataan yang seolah-olah perbuatan seks songsang adalah normal seperti non-heterosexual behaviours, manakala yang tidak menyokongnya pula dianggap tidak normal seperti homophobia.
Padahal Islam menggunakan perkataan yang jelas maksud dan konotasinya seperti zina, liwat dan sihaq berbanding seks sebelum nikah, seks di luar nikah dan hubungan sejenis yang lebih lembut konotasinya.
Kesimpulannya, bangsa timur yang ikut barat membabi buta dalam bab seksualiti akibatnya lebih buruk sebab kita tidak berkongsi warisan sejarah, falsafah, psikologi, biologi dan bahasa yang sama.
Berbanding barat yang mengambil masa berdekad untuk meletuskan revolusi seksual, bangsa timur mengambil masa beberapa tahun sahaja dan solusi barat yang diimport menambah teruk lagi masalah akhlak bangsa timur.
Oleh kerana bangsa timur terkenal dengan tingkah laku menjaga air muka, gunung berapi seksualnya tidak meletup tapi melimpah daripada pelbagai ‘lubang-lubang kecil di kaki gunung’ dan telah pun merosakkan masyarakat timur secara revolusi senyap yang lebih berbahaya.
Sudah ramai pihak di barat yang rimas dengan revolusi seksual yang semakin tidak terkawal dan mencari-cari sudut kerohanian yang boleh menyelamatkan mereka.
Di samping menasihati pejuang-pejuang hak asasi manusia supaya tidak terikut-ikut solusi barat, Profesor Malik Badri juga menasihati saintis Muslim dan ulama Islam agar tidak terikut-ikut dengan pendekatan pihak gereja zaman Eropah pertengahan yang cepat menghukum dan memberi hukuman tanpa melihat isu-isu secara makro dan mikro.
Gunakan teknik dakwah yang hikmah, teknik tarbiah yang rahmah dan hukuman ringan atau berat berasaskan maqasid syariah. Bezakan kes antara kekeliruan dan keangkuhan, antara tersembunyi dan terbuka, antara individu dan kumpulan pergerakan, antara membanteras diskriminasi dengan mempromosi ideologi. Ilmu psikologi Islamik-saintifik ada teknik berbeza untuk kes berbeza.
Sambutlah Hari Aids Sedunia 1 Disember setiap tahun tanpa berkiblatkan Barat yang gagal mengawal akhlak orang awam. Sebaliknya sambutlah berasaskan agama dan budaya timur yang lebih sesuai dengan psikologi manusia yang mementingkan akhlak dan kesopanan. (SUMBER PENULISAN SINAR HARIAN)
* Dr Alizi Alias merupakan Konsultan Psikologi Organisasi Ahli Majlis Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.