Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB), melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah ini terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.1 bilion, dengan pengagihan ini akan memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pengagihan pendapatan ASB kali ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, sejajar dengan strategi kepelbagaian aset PNB dan prestasi pasaran ekuiti awam yang kukuh.
“Dana-dana harga berubah ASNB juga menunjukkan prestasi menggalakkan dengan pulangan setahun antara 15 peratus hingga 33 peratus sehingga November 2024.
“ASB terus mencatat prestasi kukuh dengan kadar pengagihan yang kompetitif, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang berada pada kadar purata 2.64 peratus,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ini mencerminkan kekukuhan ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024.
Menurutnya, sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, dan pembinaan menyumbang kepada pertumbuhan disokong oleh pengukuhan Ringgit sebanyak 14.9 peratus sejak awal tahun.
Tahun lalu, ASNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, yang terdiri daripada agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Dividen tahun ini juga lebih baik berbanding dividen ASB bagi 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit, bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia.
“Ini dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak dan menambah simpanan itu melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran.
“Dalam konteks ini, kami akan meningkatkan usaha kami dalam celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan termaklum.
“Kami juga akan mempergiatkan inisiatif pemasaran kami untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan yang konsisten bagi jaminan kewangan jangka panjang,” katanya.
Abdul Rahman berkata, antaranya pada 2024 menyaksikan komitmen berterusan PNB untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan karnival celik kewangan utamanya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang mencatatkan lebih 100,000 pengunjung tahun ini.
Katanya, logo baharu ASNB turut diperkenalkan, bertujuan menarik minat generasi muda. Bekerjasama dengan kerajaan, MSAM turut menyaksikan pelancaran Celik MADANI – Celik Kewangan Belia MADANI, inisiatif yang menyasarkan sejuta pelajar universiti untuk melabur dengan ASNB bagi menyemai lagi budaya menabung dan tabiat pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak muda.
“Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha ini melalui transformasi model jualan dan pengedaran kami dan secara agresif menggalakkan simpanan kepada semua rakyat Malaysia.
“Tindakan segera termasuk pengaktifan beberapa kempen untuk menggalakkan simpanan berulang, bagi menggalakkan pelaburan berulang oleh rakyat Malaysia melalui ciri Auto Laburnya, yang membolehkan pelabur melabur secara tetap dan automatik dengan serendah RM10 sebulan,” katanya.
Menurutnya, sebagai usaha tambahan bagi mengurangkan kadar jualan balik dalam kalangan pemegang unit yang secara amnya melonjak selepas pengumuman dividen, ASNB merancang untuk melancarkan kempen kempen “#SimpanJe & Tambah” dan “#SimpanJe & Menang” pada Januari 2025, yang akan memberi ganjaran kepada pemegang unit yang mengekalkan dan menambah simpanan mereka selama suku pertama tahun tersebut.
Sebagai contoh, katanya, untuk kempen “#SimpanJe & Tambah”, pemegang unit dengan baki pegangan minimum tertentu dan membuat pelaburan tambahan sehingga RM3,000 akan menerima ganjaran tambahan sebanyak sehingga 1.5 peratus pulangan tahunan.
“Manakala mereka yang menyertai “#SimpanJe Kempen & Menang” boleh memenangi hadiah seperti pakej umrah atau melancong ke Eropah, telefon pintar dan baucar menarik. Butiran lanjut akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.