Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri
AYER KEROH: Kerajaan bersetuju memberi potongan kadar tol musim perayaan sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata diskaun berkenaan akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac dan berakhir pada jam 11.59 malam, 29 Mac ini.
Katanya, inisiatif Kerajaan MADANI itu akan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terbabit.

“Diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemberian diskaun tol ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat perayaan utama di negara ini sejak 2023, sejajar dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan ke syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd di sini hari ini.
Alexander berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol itu dengan sebaiknya serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya khususnya pada cuti panjang musim perayaan ini.
Justeru, katanya, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dan meneliti beberapa panduan pergerakan sebelum memulakan perjalanan.
“Panduan itu termasuklah mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memastikan baki e-dompet dan Kad Touch & Go selain bateri smart-tag mencukupi, menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keadaan lebuh raya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
“Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya dan menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM,” katanya.
Sumber BHARIAN
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.