PETALING JAYA – Isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan penipuan melibatkan wang sebanyak RM95,180.
Kata Afreena, wang itu diserahkan dengan tujuan membantu membebaskan suaminya daripada tahanan.
Afreena tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam untuk melaporkan perkara tersebut selain yakin kebenaran akan terungkap.
“Selesai buat laporan polis, seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” katanya menerusi Instagram Story.
Dalam hantaran sama, Afreena turut berkongsi tangkap layar perbualan dengan seorang individu menerusi Instagram yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan Ika.
Dalam perkembangan berkaitan, personaliti media sosial, Siti Jamumall atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 27, turut membuat laporan polis di Balai Polis Setia Alam.
Siti menjelaskan, dia memberikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada Afreena sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi tersebut.
“Walaupun tak kenal secara peribadi, niat saya cuma nak bantu Afreena bebaskan suaminya.
“Tambahan pula, saya faham kesusahan seorang ibu yang perlu membesarkan anak-anak seorang diri.
“Namun, saya tak campur tangan dalam hal rumah tangga mereka. Apa yang pasti, memang ada bukti wang sebanyak RM95,180 masuk ke akaun perniagaan tertentu,” ujarnya.
Terdahulu, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa Afreena menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis, termasuk pelakon Aaron Aziz.
Pelawak itu turut memaklumkan akan memfailkan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Along berkahwin dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas sembilan tahun hidup menduda. Perkahwinan pertamanya bersama Zila Saeron berakhir pada September 2016. – KOSMO! ONLINE.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.