Baucar RM100 Sudah Boleh Ditebus – Berdasarkan ucapan Perdana Menteri, Baucar Buku bernilai RM100 ini diperkenalkan bagi mengalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Mereka yang layak menerima Baucar Buku RM100 berkenaan adalah pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100. Bagi tahun ini, kita mulakan dari Darjah Empat, untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.
“Ia turut diberikan kepada pelajar sekolah menengah, universiti, kolej, institusi perguruan dan sebagainya,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Cara Menebus Baucar RM100
Bagi para pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) – baucar buku berkenaan boleh ditebus melalui aplikasi Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) mulai jam 2 petang (31 Mei 2024).
Berikut adalah tatacara membuat penebusan:
- Murid/pelajar log masuk aplikasi DELIMa menggunakan akaun serta kata laluan DELIMa;
- Klik ikon Kota Buku Digital;
- Murid/pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing;
- Murid/pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada JUDUL CADANGAN MADANI;
- Setelah selesai memilih, murid/pelajar boleh daftar keluar (check out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit);
- Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan;
- Prosesn penebusan selesai.
Dalam masa sama, Perdana Menteri juga menegaskan bahawa masyarakat perlu diberikan pemahaman mengenai makna ilmu yang sebenar supaya tidak terdedah dengan maklumat atau karya tidak bermanfaat. Menurutnya, bukan semua maklumat itu adalah ilmu – kerana terdapat juga maklumat yang hanya sekadar maklumat.
Oleh itu, anak-anak perlu dilatih membaca, mencintai ilmu dan menentukan yang mana adalah informasi dan ilmu, seterusnya mempunyai keupayaan untuk menyaring apa yang disebut ilmu makrifah atau kebijaksanaan.
Berkenaan dengan isu kebimbangan awam tentang kurangnya minat membaca di kalangan generasi muda, Anwar berkata semua pihak termasuk kerajaan perlu lebih berani membuat anjakan ke arah membudayakan amalan itu.
Beliau juga melihat sambutan positif kepada PBAKL tahun 2024 ini yang mencecah lebih sejuta pengunjung dalam tempoh tujuh hari penganjurannya dan menganggap perkara itu sebagai petanda baik berkait minat masyarakat terhadap buku.
“Minat membaca menurun, diganti dengan media sosial yang kononnya memberi laporan dalam satu dua minit… ya, ini membimbangkan. Dalam negara MADANI, kita mesti mengangkat semula (budaya membaca) dan berani membuat sedikit anjakan. Saya berterima kasih kepada pihak penganjur (PBAKL) kerana tahun ini, bukan saja pengunjung ramai tetapi dalam masa empat hari pertama, pembelian buku bertambah ketimbang tahun sebelumnya.
“Jadi, yang sudah datang (ke PBAKL), beli buku, balik nanti kenalah baca. Saya juga berharap buku penulisan Sasterawan Negara kita tidak ditinggalkan. Ada (banyak) novel penulisan Sasterawan Negara terkemuka yang diterbitkan, antaranya karya Datuk Seri A Samad Said, Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Datuk Dr Anwar Ridhwan. Senarai (karya) Sasterawan Negara ini yang patut diusulkan (untuk dibaca),” ujarnya.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.
Nk