Amalan Ibadah 10 Malam Terakhir Ramadhan – Bulan Ramadan dianggap sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. 10 malam terakhir Ramadan khususnya, memegang kedudukan yang istimewa dalam hati umat Islam.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, yang menggambarkan amalan Nabi Muhammad SAW di dalam hari-hari terakhir Ramadan dengan penuh kesungguhan.
Dalam Hadis Riwayat Al-Bukhari, maksudnya: “Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) Baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, Baginda menghidupkan malam harinya, dan Baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).”
Daripada hadis tersebut, Nabi SAW sendiri memberi contoh kepada umatnya untuk meningkatkan amalan ibadah, terutamanya di penghujung bulan Ramadan. Sepuluh malam terakhir Ramadan dianggap sebagai masa yang paling baik untuk mencari Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Maka, sebagai umat Islam, adalah penting untuk mengambil iktibar daripada tindakan Nabi SAW dan meningkatkan amalan ibadah kita di sepuluh hari terakhir Ramadan. Mari kita manfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.
Di dalam artikel kali ini, kita akan berkongsi 5 amalan yang dapat dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Memanfaatkan Qiyam di 10 Malam Terakhir Ramadan
Qiyam, atau solat malam, merupakan amalan yang sangat mulia dan dianjurkan di bulan Ramadan, terutamanya di 10 malam terakhir yang memiliki keistimewaan tersendiri. Qiyam adalah ibadah kepada Allah SWT yang dilakukan pada waktu malam, dengan menghidupkan malam hari dengan beribadah.
Maksudnya, ketika kita melakukan qiyam di bulan Ramadan, terutamanya di 10 malam terakhir Ramadan, kita seolah-olah berada di dalam kesempatan yang sangat istimewa.
Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, “Sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.”
Riwayat al-Tirmizi (806), al-Nasa’i (1605), dan Ibn Majah (1327) merakamkan hadis ini yang memberikan penjelasan tentang keutamaan qiyam di bulan Ramadan, terutamanya di malam-malam terakhir.
Ganjaran yang diperoleh bagi mereka yang melaksanakan qiyam ini adalah seolah-olah mereka beribadah kepada Allah sepanjang malam.
Memperbanyak Bacaan al-Quran di 10 Malam Terakhir Ramadan
Salah satu keistimewaan bulan Ramadan adalah peristiwa turunnya al-Quran, kitab suci yang menjadi petunjuk dan panduan bagi umat manusia.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 185, “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Ayat ini menegaskan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang dimuliakan dengan turunnya al-Quran, kitab yang memberikan cahaya dan petunjuk kepada umat manusia.
Dalam bulan Ramadan, amalan membaca al-Quran memiliki keistimewaan tersendiri. Pahala membaca al-Quran pada bulan ini dilipat gandakan oleh Allah SWT. Selain itu, semua amal kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadan juga mendapat ganjaran yang berlipat ganda.
Oleh itu, adalah disyorkan agar kita memperbanyakkan bacaan al-Quran, terutamanya di 10 malam terakhir Ramadan. Dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran, kita berharap agar amalan kebaikan kita diberkati dan diterima oleh Allah SWT.
Keutamaan Bersedekah dan Infaq di Bulan Ramadan
Bulan Ramadhan juga adalah merupakan bulan di mana kita digalakkan untuk banyakkan bersedekah dan infaq. Terdapat sebuah hadith riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
“Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
Riwayat al-Bukhari (3554)
Hadith ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan. Dinyatakan dalam hadith, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi. Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)
Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas R.A menyebutkan:
“Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?” Jawab Nabi SAW: “Puasa di bulan Sya‘ban untuk mengagungkan Ramadhan.” Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi SAW: “Sedekah di bulan Ramadhan.” Riwayat al-Tirmizi (663) dan beliau mengatakan hadith ini gharib.
Justeru, banyakkanlah sedekah dan infaq dalam bulan Ramadhan khususnya di sepuluh akhir Ramadhan ini, antaranya kepada tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain.
Menjamu Orang Berbuka Puasa
Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun dari pahala orang yang berpuasa itu.”
Riwayat al-Tirmizi (807) dan beliau mengatakan hadith ini hasan sahih.
Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” (Lihat Maqasid al-Saum, hlm. 18)
Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/187)
Oleh yang demikian, seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadith.
Keutamaan Beriktikaf di 10 Malam Terakhir Ramadhan
Iktikaf merupakan satu amalan yang sangat ditekankan dalam Islam, terutama pada bulan Ramadan. Iktikaf merujuk kepada pengasingan diri dalam masjid dengan tujuan beribadah secara khusus.
Dalam sebuah riwayat yang disebutkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW biasa melakukan iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan. Riwayat ini diriwayatkan dalam al-Bukhari (2025).
Melalui amalan iktikaf ini, umat Islam diberi peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meninggalkan kesibukan dunia dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada ibadah.
Iktikaf memberi peluang kepada individu untuk merenungkan diri, memperbaiki hubungan dengan Allah, serta memperdalam kefahaman terhadap ajaran agama.
Selamat beramal.
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.