
KUALA LUMPUR: Atlet muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib berjaya menewaskan lawan dari Rusia dalam masa singkat pada perlawanan One Fight Night 28 yang berlangsung pagi tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Bangkok, Aliff hanya mengambil satu minit 10 saat pada pusingan pertama untuk menumpaskan Shamil Adukhov.
Kejayaan menamatkan pertarungan dengan kemenangan knockout (KO) pada pusingan pertama turut membolehkan Aliff membawa pulang bonus kemenangan bernilai AS$50,000 (RM222,000).
Dalam perlawanan bagi kategori catchweight itu, Aliff jelas menunjukkan persiapan yang lebih rapi berbanding lawannya, Shamil Adukhov, yang merupakan pendatang baharu dalam ONE Championship.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di media sosial, Aliff turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penyokongnya atas sokongan yang diberikan.

“Assalamualaikum, terima kasih semua yang menyokong Aliff,” katanya.
Sementara itu, Muaythai Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut buat bakat sedang meningkat itu.
Kemenangan Aliff tercetus selepas dia menahan asakan daripada Adukhov sebelum melepaskan dua tumbukan ke bahagian kepala lawannya itu.
Dua tumbukan padu itu menyaksikan Adukhov tidak dapat bangkit untuk meneruskan perlawanan sekali gus memberikan kemenangan kepada Aliff.
Kejayaan itu juga menyaksikan dia melebarkan rekod kemenangan 7-2 sejak bertarung dalam ONE Championship.
Lebih membanggakan, lima kemenangan termasuk hari ini diperoleh menerusi pukulan KO.
Sumber Berita Harian
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.