Artis wanita adalah golongan ‘panas’ yang menjadi buruan individu kaya untuk diupah menjadi peneman.
Mendampingi artis dilihat memberikan kepuasan berbeza dan berganda buat mereka. Artis terbabit bukan saja dihubungi lelaki, tetapi juga wanita!
Bayaran lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit sanggup dileburkan demi mencapai kepuasan itu. Memang tidak hairan juga jika ada artis ‘kelabu mata’ apabila ditawarkan habuan lumayan hanya sebagai peneman untuk makan malam saja.
Ada antara mereka berani menghubungi artis terbabit menerusi akaun media sosial untuk memberi tawaran. Berbekalkan syarat termasuk privasi dijaga rapi, mereka menaruh harapan tinggi agar artis akan setuju untuk berjumpa.
WAFARIENA
Antara yang pernah menjadi mangsa ialah pelakon, Wafariena, 28.
Katanya, sudah banyak kali dia didatangi tawaran sedemikian dan hingga hari ini masih mendapat tawaran itu menerusi pelbagai platform.
Katanya, kebanyakan golongan wanita yang menghubunginya, dia tidak pasti sama ada identiti mereka di media sosial itu betul atau palsu.
Golongan lelaki yang menghubungi pula memang menggunakan identiti sebenar di media sosial. Kebiasaannya mereka menawarkan untuk berjumpa di tempat mewah.
“Saya pernah ditawarkan bayaran sebanyak RM150,000 untuk satu malam. Paling rendah ialah RM15,000. Ada juga yang nak beri RM20,000 dan RM30,000.
“Kalau yang wanita, mereka bertanya sama ada saya nak berjumpa dengan individu kaya-raya. Mereka janji saya boleh dibayar ikut berapa yang saya mahu.
“Yang lelaki pula, mereka berikan syarat dan privasi kena jaga. Contohnya tak boleh ambil gambar. Alasan mereka, cuma nak ajak makan malam saja,” katanya.
Wafariena mengakui, dia berasa kelakar apabila jika dapat tawaran itu.
Katanya, dia juga tidak perlu terkesan jika netizen memberi tanggapan negatif terhadap artis asalkan dia tidak melakukan aktiviti sebegitu.
WANNA ALI & PUTERI SARAH LIYANA
Pelakon Wanna Ali, 27, atau nama sebenarnya Nor Syazwana Mohd Ali yang pernah mendapat tawaran sebegitu berkata, bayaran lumayan dijanjikan memang cukup menggoda. Namun, dia tiada keinginan langsung ‘membuat duit’ dengan aktiviti begitu.
“Saya tahu sebenarnya aktiviti begini ramai nama artis terkenal yang terbabit. Ada ‘ibu ayam’ yang menjaga dan mengaturkan mereka. Tapi, saya tidak mahu ambil tahu kerana kita tak tahu sebab individu itu terbabit aktiviti begitu.
“Mereka bukan menjual diri dan ada tawaran sekadar jadi peneman saja. Bila saya dengar, senangnya ‘buat duit’. Apabila saya sendiri ditawarkan bayaran itu, agak bengang jugalah tapi bukan terlalu beremosi.
“Itu semua terpulang kepada diri sendiri. Saya percaya semua orang pun nak lakukannya kalau keadaan sangat tersepit. Dan, saya takkan menghakimi mereka jika ada yang melakukannya,” katanya.
Wanna berkata, dia memang tidak sesuai melakukan aktiviti itu kerana ada sebab kukuh. Namun, mengakui ada rakan terdekatnya yang terbabit dalam aktiviti itu, tetapi dengan batas-batas tertentu.
“Saya berada dalam industri hiburan dan ramai orang kenal keluarga saya. Kalau saya buat hal merepek begitu, maknanya saya pentingkan diri sendiri.
“Saya kenal seorang wanita ini yang melakukannya. Dia buat kerana dia kena menjaga keluarganya di kampung. Dia anak sulung yang menyara keluarga. Kalau lihat sudut itu, saya tersentuh sebab saya tak sampai tahap mampu sara seluruh keluarga sepertinya,” katanya.
Turut menjadi mangsa ialah ialah pelakon, Puteri Sarah Liyana, 39.
Sarah ketika dihubungi mengakui timbul rasa ingin tahu lebih mendalam terhadap aktiviti sebegitu.
Walaupun terkejut mendapat tawaran menjadi peneman VIP, dia tidak melatah mengenainya.
“Saya mendapat tawaran itu sewaktu menjalani penggambaran di balai polis. Terus rasa ingin terima pula dengan niat menjadi ‘mata-mata’ kerana nak tahu macam mana aktiviti itu dijalankan.
“Tawaran itu datang daripada seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon, Nadia Brian. Dia bertanya jam berapa saya habis ‘shooting’ (penggambaran). Dia meminta saya berjumpa seseorang dikenali sebagai Datuk Shahrul pada jam 10 malam.
“Selepas itu dia cakap, foto dan video dilarang. Dia cakap untuk teman-teman minum kopi, bayaran RM15,000. Saya bertegas kepadanya, saya tak buat kerja-kerja begitu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 43, berkata, pihaknya tahu pembabitan artis dalam aktiviti itu, cuma ia tidak disedari kerana dilakukan dengan begitu tertutup.
Bagaimanapun, katanya hanya segelintir saja artis terbabit.
Sehubungan itu, dia menyarankan artis tidak menyalahgunakan populariti mereka untuk terjerumus kegiatan begitu walaupun atas alasan berdepan dugaan hidup.
Zed berkata, Seniman ada menyediakan bantuan dan khidmat kaunseling untuk artis yang terbabit. Itu antara integriti persatuan menjaga kebajikan artis.
“Seniman ada doktor kaunseling khas yang membantu dari sudut psikologi. Biasanya untuk artis-artis yang trauma, keresahan atau membabitkan kesihatan mental lain. Contohnya mereka yang terpaksa buat aktiviti itu kesan daripada tak dapat tawaran kerja.
“Memang kami sentiasa terbuka untuk membantu mereka. Mereka tak perlu takut kerana kami sangat menjaga privasi. Sesi itu sedikit sebanyak membantu mereka kembali kepada corak hidup normal,” katanya.
Sumber Penulisan Georgie Joseph
Kredit HMetro
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.