PASIR MAS: Kekurangan bekalan beras akibat industri penanaman padi yang terkesan oleh bencana banjir akan ditampung melalui penurunan harga jualan beras putih import yang berkuat kuasa mulai semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kekurangan itu tidak dapat dielakkan kerana penanaman padi merupakan sektor yang paling terjejas akibat banjir, diikuti oleh sektor sayuran, penternakan dan pemeliharaan ikan.
“Jadi, kemungkinan kekurangan beras ini kita akan tampung dengan beras import yang turun harga dan berada pada harga yang baik di pasaran antarabangsa ketika ini.
“Harga import ini boleh naik kepada RM3,200 hingga RM3,300 (per tan metrik) tetapi kini berada pada paras RM2,800,” katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat situasi semasa banjir di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).
Mohamad menjelaskan ketika Kelantan menghadapi kemarau panjang dalam dua musim padi sebelumnya, ia menyebabkan kekurangan bekalan sebanyak 4%, dan banjir kali ini dijangka menambah lagi kekurangan tersebut.
Beliau berkata pelbagai jenis aktiviti pertanian yang melibatkan keluasan keseluruhan 4,800 hektar terjejas akibat banjir di Kelantan tahun ini.
“Oleh itu, kementerian melalui Kada dan agensi lain akan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai situasi ini bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada para petani, khususnya pesawah padi,” katanya.
“Perancangan awal bagi pesawah padi yang mempunyai skim sendiri adalah pembayaran bantuan pada kadar RM1,000 hingga RM1,800 sehektar, bergantung kepada umur padi,” katanya.
Mohamad berkata bentuk bantuan akan diberikan mengikut kadar sedia ada tetapi jika peruntukan tambahan boleh disediakan, kementerian akan berusaha untuk membantu memulihkan mereka yang terjejas.
Media melaporkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bersetuju untuk menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa hari ini. – FMT
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.