Adalah diketahui umum bahawa setiap 25 Disember, penganut agama Kristian menyambut Hari Natal atau Krismas.
Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal dalam masyarakat majmuk, kita didedahkan kepada pelbagai perayaan dan tradisi agama yang berbeza.
Walaupun umat Islam diharuskan untuk menghormati perayaan agama lain, terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi kerana ia melibatkan aspek akidah.
Berikut dikongsikan soal jawab mengenai beberapa persoalan yang sering dibangkitkan mengenai perayaan Krismas:
1) Bergambar dengan perhiasan Krismas
Sebagai contoh, dekorasi di pusat membeli-belah. Menurut pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, bergambar bersama dekorasi Krismas seperti pokoknya adalah tidak haram.
Namun jelas beliau, umat Islam dilarang membuat dekorasi Krismas di rumah sehingga boleh menimbulkan salah sangka orang lain, seolah-olah penghuni kediaman tersebut beragama Kristian.
2) Memakai pakaian ala Santa Claus
Sebagai contoh, memakai topi Santa Claus atau berpakaian seperti Santa Claus. Memetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan, secara asasnya, seorang Muslim tidak dibenarkan untuk meniru atau memakai apa sahaja simbol atau pakaian yang mempunyai kaitan dengan agama lain.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dari kalangan mereka”
3) Menyertai Secret Santa
Memetik laman Maktabah Al-Bakri, Secret Santa ialah tradisi Krismas Barat atau tradisi Saint Nicholas, di mana ahli kumpulan atau komuniti ditetapkan secara rawak untuk memberi hadiah kepada seseorang.
Ia merupakan sebuah tradisi keagamaan yang diamalkan oleh penganut Kristian, yang mana pada asalnya meraikan hari kematian seorang tokoh paderi Ortodoks Yunani bernama Nicholas.
“Apabila jelas kepada kita tentang hakikat sambutan ini, yang mana ianya berunsurkan keimanan terhadap seorang Biskop Kristian, maka hukum asal menyertai sambutan ini pastinya haram dan dilarang oleh Islam”, terangnya.
4) Mengucapkan Selamat Hari Krismas
Memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang dinyatakan.
“Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat.
“Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam,”jelasnya.
5) Menghadiri rumah terbuka Krismas
Memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, jika ada jemputan maka ianya terhad kepada kadar yang diperlukan seperti jamuan makan atau bergambar sahaja. Ia adalah sebagai tanda menjaga hubungan baik bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka.
“Dibolehkan untuk hadir ke majlis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal.
“Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri,” jelasnya.
Semoga dengan pencerahan tersebut akan menambahkan lagi kefahaman kita. Semoga bermanfaat!
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.