SEORANG pengasuh berumur 34 tahun ditahan kerana didakwa membunuh bayi dalam kejadian di Taman Kelamak Utama, Alor Gajah, Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ibu kepada tiga orang anak itu ditahan di sebuah taska sekitar Alor Gajah pada Jumaat petang untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman selama tujuh hari dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri ke atas suspek di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu.
“Bayi lelaki yang berusia lapan bulan itu dihantar ke taska terbabit oleh ibu dan datuknya sekitar pukul 7 pagi pada Jumaat.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dua jam selepas itu susulan mengalami pendarahan pada hidung dan badannya bertukar biru,” kata Ashari pada Sabtu.
Tambah Ashari, Hospital Alor Gajah akan menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian bayi berkenaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata dia sama sekali tidak menjangka tragedi tersebut akan menimpa keluarganya.
“13 tahun saya tunggu untuk dapatkan zuriat. Isteri, Sabrina Hakiem Zaini dan saya gembira yang teramat apabila akhirnya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
“Tapi sekarang anak saya, Muhammad Al Fateh sudah meninggalkan kami buat selamat-lamanya,” kata Mohd Fikry ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada Jumaat.
Mohd Fikry yang berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata isterinya yang berusia 39 tahun sangat terkilan apabila kehilangan satu-satunya anak mereka.
Tambah Mohd Fikry, isterinya pada mulanya menyangka Muhammad Al Fateh terjatuh, namun terkejut apabila melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Saya akan serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat. Anak kami mula dihantar ke taska tersebut lima hari lalu dan kemudiannya ini berlaku,” ujarnya.
Difahamkan taska terbabit mula dibuka sejak tahun 2020 dan hingga ke hari ini masih belum mendapat kebenaran daripada pihak berwajib untuk beroperasi. – The Star
PENAFIAN
Pihak Mynewskini bukanlah dari mana-mana agensi kerajaan dan tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.
Pihak Mynewskini hanya berkongsi maklumat kepada pembaca dan pencari informasi yang berkaitan dengan bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.
Harap maklum. Terima Kasih.